Badminton

Malaysia ke suku akhir Piala Sudirman

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Isu pergolakan 'rumah tangga' di tanah air langsung tidak menjejaskan tumpuan skuad badminton Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China apabila menjadikan India sebagai mangsa kedua sekali gus melayakkan diri ke saingan suku akhir.

Pujian harus diberikan kepada perseorangan wanita, Goh Jin Wei apabila mengesahkan kemenangan pasukan campuran negara dengan menumbangkan juara dunia 2019, PV Sindhu tatkala ketika itu Malaysia sudah mendahului 2-0.

Kemenangan Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia dua kali, membolehkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah turun tanpa tekanan sekali gus memuktamadkan kemenangan 5-0 ke atas India dalam aksi kedua Kumpulan C.

"Saya langsung tidak fikir mengenai menang atau kalah hari ini, hanya fokus pada perlawanan sahaja. Apa yang penting, saya sudah berikan segala-galanya dan sangat bernasib baik untuk catat salah satu kemenangan terbesar.

"Kehadiran saya di sini tidak ada untuk buktikan kepada sesiapa, cuma mahu pamerkan aksi terbaik kepada yang sentiasa memberi sokongan. Selepas ini, saya perlu siapkan kekuatan mental," kata Jin Wei yang menang 14-21, 21-10, 22-20.

Terlebih dahulu dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai menyumbang mata pertama dengan menewaskan Dhruv Kapila-Ashwini Ponnappa 21-16, 21-17.

Malaysia mendahului 2-0 apabila perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah mencatat kemenangan straight set, 21-16, 21-11 ke atas K Srikanth dalam perlawanan yang berlangsung selama 36 minit.

Selepas Jin Wei melakar kejutan ke atas Sindhu, Aaron-Wooi Yik pula memberi pengajaran berguna kepada Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy selepas mereka melakar kemenangan 21-18, 21-19.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menyumbang mata kelima apabila berjaya menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand 21-15, 21-13.

Kejayaan mara ke pusingan suku akhir menyaksikan Malaysia selangkah sahaja lagi untuk mencapai sasaran layak ke separuh akhir seperti ditetapkan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Walaupun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, namun Malaysia akan berdepan satu lagi aksi sukar bertemu Taiwan Rabu ini dalam perebutan juara kumpulan sebelum undian suku akhir berlangsung.

Taiwan juga sudah mengesahkan slot ke suku akhir selepas mengalahkan India 4-1 semalam dan mudah meratah Australia 5-0 hari ini.

Ia juga kali ketiga berturut-turut India gagal meloloskan diri ke suku akhir selepas terkandas di peringkat kumpulan pada 2021 (Vantaa) dan 2019 (Nanning).

Disiarkan pada: May 15, 2023 @ 9:17pm
d