Badminton

Jin Wei kecewa dengan diri sendiri

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Semua petugas media terpaku dan tertanya-tanya mengapa pemain perseorangan profesional wanita, Goh Jin Wei menangis teresak-esak sebaik sahaja melangkah keluar dari gelanggang sebelum duduk bersandar berdekatan dengan di zon temuramah.

Ia mengambil masa selama hampir 10 minit buat Jin Wei untuk menenangkan dirinya dan tangisannya memecah kesunyian zon temuramah yang terletak di tingkat satu Axiata Arena.

Disebabkan situasi berkenaan, jurulatihnya dipanggil untuk menenangkan bekas juara remaja dunia itu yang kelihatan sangat kecewa apabila tumpas kepada Yvonne Li dari Jerman 17-21, 21-17, 15-21.

Selepas tenang Jin Wei akhirnya bersetuju untuk bertemu dengan wartawan dan menjelaskkan kenapa dia terlampau sedih.

"Saya sedih kerana keadaan saya seperti ini. Saya marah dengan diri sendiri kerana tidak menjaga 'condition'," katanya yang mengakui mungkin tidak beraksi di Terbuka Thailand kerana kepenatan.

Ujar Jin Wei, walaupun hanya beberapa hari rehat selepas Piala Sudirman, dia memerlukan pemulihan kecergasan setiap hari.

"Jadi saya rasa saya tidak melakukannya (pemulihan kecergasan) dengan baik. Ini kerana saya perlu melakukan fisioterapi di luar (swasta) setiap hari tetapi saya tidak mempunyai servis sokongan.

"Bagi seorang pemain elit, kami perlu pergi ke fisioterapi setiap minggu. Saya berharap dapat disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG). Walaupun ada kriteria (yang ditetapkan) saya harap dapat disenaraikan, jadi boleh menggunakan fasiliti mereka. Ia sudah pasti akan membantu meningkatkan prestasi saya," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2023 @ 7:37pm
d