Badminton

Yew Sin-Ee Yi bangkit untuk layak ke suku akhir

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Rekod beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ke atas pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han tahun ini terus cemerlang apabila mereka mencatat kemenangan kali ketiga berturut-turut, hari ini.

Yew Sin-Ee Yi menjadikan aksi pusingan kedua Masters Malaysia 2023 sebagai medan untuk terus mengekalkan rekod bersih itu dengan mencatat kemenangan 15-21, 21-12, 21-19 seterusnya mara ke suku akhir.

Sebelum ini, Yew Sin-Ee Yi menumpaskan lawan mereka itu di pusingan kedua Terbuka Malaysia 15-21, 21-12, 21-19, Januari lalu.

Kemenangan kedua dicatatkan minggu lalu, 21-8, 23-21 ketika kedua-dua pasangan itu bertemu di peringkat kumpulan di kejohanan Piala Sudirman.

Ini adalah pertemuan kali ketujuh kedua-dua gandingan dengan Yew Sin-Ee Yi mengungguli rekod 4-3.

Yew Sin-Ee Yi akan berdepan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, esok untuk mencari slot ke separuh akhir.

"Mereka cuba untuk mengkaji permainan kami dan melakukannya dengan baik pada set pertama.

"Bagaimanapun, kami cuba untuk tidak menyerah kalah dan berentap habis-habisan.

'Kunci kebangkitan pada set ketiga ialah kami tidak mudah untuk memberi peluang kepada mereka, jika tidak kami akan melakukan kesilapan," kata Yew Sin.

Selain Yew Sin-Ee Yi turut mara ke suku akhir dua lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 9:58pm
d