Badminton

Wei Chong-Kai Wun kejutkan 'The Daddies'

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Semuanya seakan sempurna dan penuh bermakna buat beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila bukan sahaja berjaya layak ke separuh akhir Masters Malaysia 2023 malah berjaya menewaskan pasangan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Wei Chong-Kai Wun yang juga gandingan nombor 26 dunia, menumbangkan bekas juara dunia itu yang mendapat gelaran 'The Daddies' dengan kemenangan straight-set 23-21, 21-17 pada aksi suku akhir.

"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini tetapi ia tidak bermakna kami boleh selesa kerana banyak lagi perlu dilakukan menentang beregu-beregu lebih hebat," kata Kai Wun selepas tamat perlawanan.

Wei Chong pula gembira dengan prestasi dan persefahaman antara mereka dalam aksi itu sambil mengharapkan kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk mara ke final Malaysia Masters edisi kali ini.

"Perasaan sangat gembira sebab mereka (Ahsan-Hendra) bukan lawan senang. Kami hanya bermain aksi terbaik kami tetapi keyakinan kami memang meningkat.

"Kejohanan ini adalah permulaan kejayaan dalam karier kami. Namun, kami perlu terus kerja keras dan tidak boleh cepat gembira dengan kejayaan ini," jelasnya.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, terkandas selepas kalah 21-15, 16-21, 14-21 kepada wakil Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 9:47pm
d