Badminton

BWF perlu fokus kejohanan berkualiti

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei berpandangan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu memberi fokus untuk menganjurkan kejohanan lebih berkualiti yang menawarkan hadiah lebih lumayan kepada pemain pada masa hadapan sekiranya mahu melihat sukan itu diangkat setaraf dengan tenis.

Saranan itu diutarakan Chong Wei ketika diangkat menjadi sebahagian daripada Dewan Kemahsyuran BWF 2023 bersama-sama seteru utamanya, Lin Dan dalam satu majlis yang berlangsung di ibu kota semalam kelmarin.

"Saya rasa tidak sesuai tidak sesuai untuk kami bekas pemain badminton membincangkan perkara ini (perubahan untuk tempoh lima hingga 10 akan datang dalam dunia badminton).

"Sepatutnya perkara ini perlu diajukan kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) apa perubahan yang mereka mahu lakukan untuk tempoh yang mendatang, mungkin mereka akan menukar format mata perlawanan, sistem, ataupun mungkin menaikkan nilai wang kemenangan.

"Ataupun mungkin memansuhkan beberapa kejohanan dalam tempoh setahun, dengan memberi tumpuan kepada kejohanan yang lebih berkualiti, misalnya tenis ada enam kejohanan utama, sebab saya rasa kalendar badminton ketika ini sangat gila, ia berlangsung secara berterusan.

"Disebabkan itu banyak pemain mengalami kecederaan dan saya harap BWF berupaya untuk menganjurkan enam ke lapan kejohanan yang berkualiti dengan menawarkan hadiah kemenangan yang lumayan," ujarnya.

Sebelum ini, beberapa masalah timbul susulan jadual padat yang perlu diharungi pemain masa kini menyebabkan kebanyakan daripada mereka mudah ditimpa kecederaan.

Antara yang terkesan ialah Pemain nombor satu Dunia, Viktor Axelsen yang terpaksa menarik diri gara mengalami kecederaan hamstring di Piala Sudirman di Suzhou selain pemain negara Lee Zii Jia pula terpaksa ditunjukkan jalan keluar dari pusingan kedua Kejohanan Masters Malaysia kerana kurang sihat.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 1:46pm
d