Badminton

Jawatankuasa RTG pertimbang tanggung perbelanjaan atlet

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia mungkin tidak perlu bimbang soal kewangan jika mahu menyertai kejohanan di luar negara apabila jawatankuasa Road To Gold (RTG) kemungkinan besar akan menanggung wakil negara itu pada masa akan datang.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jawatankuasa RTG akan mempertimbangkan untuk menanggung perbelanjaan membabitkan pemain badminton profesional negara yang berada di bawah program berkenaan bagi menyertai kejohanan di luar negara.

Beliau berkata, perkara terbabit akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa RTG bagi membincangkan permintaan pemain badminton profesional negara yang memerlukan penyertaan di kejohanan di peringkat antarabangsa bagi mengekalkan prestasi masing-masing.

Katanya, jawatankuasa RTG akan memberikan layanan sama rata iaitu akan mempertimbangkan setiap perkara atau elemen yang mampu mempertingkatkan potesi mereka dalam usaha meraih pingat emas pertama negara di pentas Sukan Olimpik Paris.

"Dia ini (pemain profesional badminton negara) sama dengan pemain lain iaitu kita akan selaraskan dalam mesyuarat RTG seterusnya mempertimbangkan permintaan mereka.

"Itu (perbelanjaan kejohanan luar negara) antara yang akan dibincangkan namun saya menganggap sama dengan lain kerana mereka mewakili negara. Ini memadai kerana bukannya permintaan tapi lebih kepada sokongan kepada mereka," katanya, ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Zii Jia, sebentar tadi.

Mengikut rekod, program RTG yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Mac lalu adalah projek kebangsaan bertujuan menyelaraskan usaha negara dalam merangkul pingat emas Olimpik pertama.

Ketika ini, seramai 15 atlet negara dengan 11 daripadanya adalah pemain badminton dipilih untuk berada dalam program RTG.

Disiarkan pada: May 31, 2023 @ 10:07pm
d