Badminton

Aaron, Wooi Yik mara ke separuh akhir

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam momentum terbaik untuk mengekalkan kejuaraan di pentas Kejohanan Badminton Dunia apabila menumpaskan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi pada aksi suku akhir yang berlangsung di Copenhagen, Denmark, awal pagi tadi.

Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan keempat kejohanan menempah slot separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan 21-11,15-21 dan 21-14.

Pasangan China yang juga pilihan keenam kejohanan bangkit pada set kedua dengan mencatatkan kemenangan 15-21 terhadap beregu negara sekali gus membawa pertembungan ke set penentuan.

Pengalaman yang dimiliki pasangan berada di ranking keempat dunia itu ternyata membantu mereka menguasai pertembungan di set ketiga sebelum mencatatkan kemenangan 21-14 mengatasi wakil China.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan badi kekalahan kepada Yu Chen- Xuan Yi yang sering memihak kepada lawannya itu.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik tewas dalam semua tiga perlawanan dengan pasangan nombor tujuh dunia berkenaan sebelum ini.

Wakil negara itu berada pada tahap terbaik ketika ini selepas mereka mencatatkan kemenangan ke atas juara Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di pusingan ketiga, sekali gus menjadi tonik tambahan buat mereka untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu.

Disiarkan pada: August 26, 2023 @ 5:55am
d