Badminton

Pengganti Norza masih misteri

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Seri Jahaberdeen Mohd Yunoos mendedahkan kesemua Ahli Majlis dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum menerima sebarang maklumat mengenai calon yang akan mengisi kerusi presiden Disember depan.

Menurut Jahaberdeen, beliau hanya mengetahui calon-calon yang dikaitkan menerusi laporan media dan perkara ini belum lagi dimaklumkan ataupun dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis.

"Dalam BAM, kami ada satu persetujuan dengan Tan Sri (Mohamad) Norza (Zakaria) dengan semua ahli Majlis, iaitu Tan Sri akan mengemukakan beberapa nama untuk pertimbangan kami," katanya.

Ujarnya, belia bersikap terbuka dengan siapa jua individu yang dikaitkan untuk menerajui badan induk itu termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang disebut sebagai salah satu calon mengantikan Norza.

"Apa yang kami mahukan adalah kesinambungan dalam kerja-kerja yang dibuat, supaya semua pihak boleh bekerjasama, jadi saya tidak dapat memberikan komen lanjut mengenai nama-nama yang disebut, sebab kami juga tidak tahu.

"Bagaimanapun bagus apabila ramai mahu menerajui BAM, kerana memang banyak kerja yang perlu dilakukan," katanya.

Tiga lagi calon yang turut dikaitkan dengan jawatan itu adalah bekas Timbalan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Al-Amin Abdul Majid; bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Razali Ibrahim serta Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

"Secara peribadi, bagi saya lebih ramai orang hendak menerajui BAM lagi bagus, kalau kena dengan niat yang bagus. Ini menunjukkan minat rakyat Malaysia, tidak kiralah dia menteri atau tidak untuk menerajui sukan badminton. Saya amat mengalu-alukannya, biarlah calon terbaik tampil ke hadapan untuk memegang persatuan ini," kata Jahaberdeen.

Sebelum ini, Norza membuat pengumuman mengejutkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden BAM pada hujung tahun ini, jauh lebih awal daripada hasratnya iaitu selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos depan.

Disiarkan pada: August 30, 2023 @ 2:12pm
d