Badminton

Zii Jia tersingkir di pusingan kedua

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Perjalanan pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia di Terbuka Perancis terhenti di pusingan kedua, hari ini.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-11 dunia tunduk dalam pertarungan tiga set kepada pemain China, Li Shi Feng, 21-17, 11-21, 12-21 di Arena Glaz.

Selepas menang set pertama, rentak Zii Jia yang juga juara Terbuka Artik, Finland, tampak goyah di set kedua sebelum kecundang 11-21.

Cuba bangkit di set ketiga, Zii Jia menguasai awal permainan sehingga berjaya meninggalkan lawan 9-2.

Namun, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan membolehkan Shi Feng mengejar mata demi mata dan mengikat kedudukan 10-10.

Bagaikan tidak mempunyai jawapan terhadap serangan dilakukan Shi Feng yang juga pilihan kelapan kejohanan, Zii Jia akhirnya kecundang 12-21 di set ketiga dalam pertarungan selama 68 minit itu.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pemain itu memihak kepada Shi Feng dengan 3-2.

Kali terakhir mereka bertemu di Terbuka Swiss pada Mac lalu apabila kemenangan memihak kepada Zii Jia dalam pertarungan tiga set.

Disiarkan pada: October 26, 2023 @ 8:50pm
d