Badminton

Tze Yong sisih Masters Korea

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengesahkan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menarik diri daripada saingan Masters Korea yang akan bermula Selasa ini.

Jelas Rexy, beliau dimaklumkan perkara itu oleh jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan selepas menyaksikan Tze Yong tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Hylo di Jerman, semalam.

"Hendrawan beritahu mahu menarik diri daripada Korea Masters dan India, hanya mahu bermain di Masters Jepun (14 hingga 19 November) dan Masters China (21 hingga 26 November).

"Namun, saya jelaskan keputusan mengenai penyertaan di Jepun hanya akan diputuskan sebaik Tze Yong pulang, kita lihat dahulu keadaan fizikal dan mentalnya serta tempoh rehatnya," kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan, hari ini.

Terbuka Hylo adalah kejohanan kelima berturut-turut Tze Yong dan pemain negara itu dilihat keletihan selepas tewas mudah di tangan pemain Republik Czech, Jan Louda 10-21, 7-21, semalam.

Rexy berkata, memang ada kebimbangan untuk membenarkan Tze Yong beraksi di Terbuka Hylo selepas menyaksikan pemain itu mengharungi jadual yang sangat padat.

"Menerusi perbincangan dengan Hendrawan sebelum ini, sememangnya ada kebimbangan untuk membenarkan Tze Yong beraksi di Hylo, namun Hendrawan mahu mencuba nasib.

"Jika dapat juara, ada peluang untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir. Jelajah Dunia Akhir itu penting kerana menawarkan banyak mata dan boleh membantu Tze Yong mendapatkan kedudukan selesa untuk layak ke Olimpik Paris," kata Rexy.

Disiarkan pada: November 3, 2023 @ 9:26pm
d