Badminton

Zii Jia mara suku akhir Masters China

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ia bukan satu masalah buat pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk mara ke suku akhir Masters China walaupun terpaksa berdepan wakil tuan rumah, Lu Guang Zu di pusingan kedua, hari ini.

Dia berjaya memberikan persembahan meyakinkan di Gimnasium Shenzhen Bay itu, selepas melakar kemenangan 21-10, 21-12 dalam tempoh 40 minit.

Menurut pemain kelahiran Kedah itu, dia gembira kerana berjaya mara ke kelompok lapan terbaik dan berharap dapat melangkah lebih jauh di kejohanan itu yang juga penampilan terakhirnya musim ini.

"Saya hanya cuba buat yang terbaik untuk lebih banyak bersabar di dalam gelanggang. Ia membuahkan hasil yang mana jika anda lihat Guang Zu banyak buat kesilapan mudah, ini menjadi kelebihan untuk saya," katanya selepas perlawanan tamat.

Ujar pemain yang dilatih oleh Wong Tat Meng itu, dia gembira kerana dapat mara ke suku akhir kerana tahun ini dia kurang mara sehingga ke peringkat berkenaan.

"Saya harap boleh pergi lebih jauh pada kejohanan kali ini yang juga kejohanan terakhir saya," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menanti Zii Jia di suku akhir, esok adalah pemenang perlawanan antara juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dengan wakil Jepun, Kenta Nishimoto.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut Zii Jia yang menghuni ranking ke-11 dunia ke atas lawan berkenaan selepas turut menang ketika pusingan pertama Masters Malaysia, Mei lalu.

Secara keseluruhan, Zii Jia sudah merekodkan empat kemenangan daripada lima pertemuan dengan Guang Zu.

Disiarkan pada: November 23, 2023 @ 3:21pm
d