Badminton

Zii Jia waspada ancaman Chun Yi

Oleh Ferzalfie Fauzi

Shah Alam: Walaupun menyedari dia tunjang kekuatan skuad lelaki negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) namun Lee Zii Jia menganggap perjuangan Malaysia bukan hanya bergantung kepadanya seorang malah seluruh pasukan terutama menjelang aksi terakhir Kumpulan B menentang Taiwan esok.

Menurut Zii Jia, Malaysia bukan hanya bergantung kepadanya seorang malah turut memerlukan rakan sepasukannya yang lain.

"Sekarang Malaysia juga tak bergantung kepada Lee Zii Jia sahaja, kita ada (Ng) Tze Yong, (Leong) Jun Hao… saya rasa kita juga menunjukkan kemajuan dan tidak ketinggalan berbanding mereka," katanya selepas menyumbang mata pertama negara berdepan Kazakhstan sebentar tadi.

Ujar pemain profesional itu, di atas kertas, Malaysia mempunyai peluang setara dengan Taiwan namun mereka mempunyai kelebihan dengan kehadiran beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

"Bagi saya kita sudah boleh tahu pemain mana yang akan mereka turunkan. Dua tahun kebelakangan ini, Lin Chun Yi mempamerkan prestasi yang baik dan saya pasti, dia akan menjadi lawan sukar buat saya, apa lagi pertemuan terakhir, saya tewas," ujar Zii Jia lagi.

Berdasarkan rekod pertemuan antara Zii Jia menentang Chun Yi, masing-masing memenangi satu perlawanan namun perseorangan profesional negara itu tewas pada pertemuan terakhir di Masters Malaysia, Mei tahun lalu, dalam pertarungan rubber set.

Ditanya mengenai latihannya di Korea Selatan minggu lalu, Zii Jia berkata dia sekadar mencari angin baru dan tidak mungkin dalam tempoh singkat, corak permainannya boleh diubah kepada sesuatu yang berbeza.

"Saya tidak fikir latihan singkat di Korea Selatan boleh memberikan peningkatan prestasi yang ketara tetapi ianya menjadi peluang untuk saya mempelajari perkara baharu. Tambahan pula Korea Selatan melahirkan dua juara dunia baharu, jadi saya dapat melihat dan mengikuti apakah rutin latihan mereka.

"Di sana, mereka ada 6 hingga 8 pemain perseorangan dan memberikan saya rakan sepelatih yang bervariasi, malah ada juga pemain tangan kidal, satu pengalaman berharga untuk saya," kata Zii Jia.

Zii Jia menyumbang mata pertama negara sebentar tadi selepas menumpaskan Dimitry Panarin 21-11, 21-10.

Disiarkan pada: February 14, 2024 @ 9:55pm
d