Badminton

Roy King, Arif persiapkan diri menjelang Terbuka Switzerland

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi akan menggunakan masa yang ada untuk membentuk keserasian sebelum menghadapi Kejohanan Terbuka Switzerland yang akan berlangsung pada 19 hingga 24 Mac ini.

Perkara ini disebabkan, Roy King terpaksa berehat selama tiga bulan sebelum ini kerana mengalami kecederaan lutut dan Wan Arif terpaksa menjalani latihan tanpa pasangannya.

Bagi Roy king, sebaik kembali ke gelanggang, dia merasakan kondisinya semakin baik dan mereka dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi latihan agar kesefahaman itu dapat terbentuk dengan kadar segera.

"Saya sangat teruja untuk kembali bagi kejohanan pertama saya (Terbuka Switzerland) selepas berehat panjang sejak Disember 2023.

"Tapi perasan takut itu masih ada sebab saya pernah mengalami kecederaan sebelum ini tapi saya perlu cepat mengatasi perasaan itu. Setakat ini saya sudah pulih 100 peratus dan cergas selain bersedia untuk bermain," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, Wan Arif pula ternyata gembira selepas pasangannya, Roy King kembali menjalani latihan kerana sebelum ini dia terpaksa bertukar-tukar pasangan ketika latihan sekali gus mengganggu persediaannya.

Malah, dia dan Roy King akan membaiki beberapa kelemahan sebelum ini terutama ketika dalam situasi tegang di mata akhir kerana ia sering memberi masalah kepada pasangan negara itu.

"Kami akan belajar dan memperkemaskan permainan terutama ketika mata penting. Contohnya kedudukan 20-20. Kami kadang-kala kalah disebabkan gagal mengawal permainan dengan baik dan kita nak baiki situasi itu.

"Dari segi ranking ketika ini bukan perkara utama kerana yang penting kita nak fokus kepada kejar gelaran. Kita nak dapat satu gelaran dulu dan dari situ ia dapat membina keyakinan kami,"

Pada masa sama, pasangan yang berada di ranking ke-58 dunia itu meletak sasaran untuk layak ke suku akhir di Kejohanan Terbuka Switzerland dan itu adalah kejohanan pertama buat mereka tahun ini.

Disiarkan pada: March 1, 2024 @ 6:37pm
d