Badminton

Yew Sin-Ee Yi wakil tunggal ke separuh akhir

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menjadi wakil tunggal negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jerman 2024 selepas menyingkirkan cabaran Lu Ching Yao-Yang Pon Han dalam perlawanan yang berlangsung di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim.

Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan lawan mereka itu dalam pertarungan yang memakan masa 39 minit.

Mereka yang kini menduduki ranking ke-12 dunia mengesahkan kemaraan dalam kejuaraan Super 300 itu selepas menang 21-19, 21-10 dan akan menentang pilihan ketiga, He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China malam ini.

Bagaimanapun jejak mereka gagal dituruti oleh dua lagi beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas di suku akhir selepas ditunjukkan jalan keluar oleh lawan masing-masing.

Soon Huat-Shevon Lai yang diletakkan sebagai pilihan keempat tewas 19-21, 26-28 selepas memberi tentangan sengit kepada beregu dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam aksi yang berlangsung 47 minit.

Manakala cabaran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terpaksa akur selepas tewas kepada pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse-Ying Suet, 21-13, 13-21, 11-21 dalam masa 52 minit.

Disiarkan pada: March 2, 2024 @ 12:45pm
d