Badminton

Yew Sin-Ee Yi terkandas di separuh akhir

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Hasrat untuk beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi layak ke pusingan akhir Terbuka Jerman tidak kesampaian apabila tunduk di tangan beregu China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Beraksi di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim, Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan selaku pilihan pertama, gagal menangkis serangan bertali arus daripada Ji Ting-Xiang Yu apabila tunduk dalam perlawanan yang berlangsung selama 34 minit.

Yew Sin-Ee Yi yang kini berada di ranking ke-12 dunia seperti hilang arah apabila tunduk mudah 5-21 di set pertama.

Mereka cuba bangkit memberi tentangan di set kedua namun gagal bangkit yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 15-21.

Pertemuan mereka di Terbuka Jerman adalah yang pertama buat kedua-dua beregu dengan rekod kini memihak kepada Ji Ting-Ren Xiang Yu 1-0.

Mereka selepas ini dijadualkan beraksi di Terbuka Perancis yang akan bermula 5 Mac ini.

Bagaimana laluan sukar bakal dihadapi mereka apabila perlu berdepan jaguh dari India, yang juga beregu pertama dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di pusingan pertama.

Disiarkan pada: March 2, 2024 @ 10:17pm
d