Badminton

Peluang sesuaikan diri sebelum Olimpik Paris

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Saingan badminton Terbuka Perancis akan menjadi kayu pengukur buat barisan pemain badminton negara dalam membuat persiapan ke temasya Olimpik Paris 2024.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang mahu pemain menggunakan kesempatan yang ada untuk menyerlahkan potensi mereka sebelum Paris.

Rexy berkata, kesemua pemain kini sudah bersedia dan berharap mereka dapat mengekalkan prestasi terutama terhadap perubahan cuaca panas di Malaysia dan sejuk di Perancis.

"Setakat ini semua persiapan berjalan dengan lancar. Mereka perlu terus kekal fokus untuk kekalkan prestasi dan rentak permainan.

"Cuma saya harap mereka tak terkesan dengan perubahan cuaca dan perjalanan yang jauh ini.

"Apa yang penting adalah mereka berikan yang terbaik. Capai prestasi yang ditetapkan dan tingkatkan lagi kepercayaan dalam diri sebelum Olimpik," katanya.

Cabaran skuad badminton negara akan diketuai oleh beregu nombor satu Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan membuka tirai saingan menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di pusingan pertama.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang kembali ke Paris dengan misi untuk merampas gelaran juara dimenangi pada 2022 akan berdepan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Manakala dalam aksi beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan memulakan cabaran menentang rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Kelibat pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia akan turut menjadi perhatian selepas dia menjadi wakil tunggal negara beraksi dalam acara berkenaan di Paris selepas Ng Tze Yong terpaksa berehat kerana menjalani pembedahan membabitkan kecederaan belakang baru-baru ini.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia akan membuka tirai aksi menentang pemain Denmark, Magnus Johannesen.

Disiarkan pada: March 3, 2024 @ 2:04pm
d