Badminton

Hon Jian-Haikal mara ke final Masters Orleans

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Hari yang ceria buat kem badminton negara apabila satu lagi beregu beregu lelaki muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri berjaya menempah tempat ke final Masters Orleans di Orleans, Perancis, awal pagi tadi.

Selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final Seluruh England juga pada awal pagi tadi, Hon Jian-Haikal kini berada di landasan terbaik untuk menambah koleksi kejuaraan mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF.

Ia adalah peluang terbaik buat Haikal untuk menembus kehampaan yang sebelum ini pernah melangkah ke final Masters Orleans pada edisi 2022 tetapi bersama Wan Arif Wan Junaidi.

Namun mereka terpaksa menarik diri daripada aksi final dan berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas Haikal diuji positif Covid-19.

Hon Jian mara ke pentas final selepas menewaskan beregu Denmark, Andreas Sondergaard-Jesper Toft 21-18, 21-16 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Palais des sports.

Diletakkan sebagai pilihan keempat, gandingan mereka itu akan berdepan pilihan keenam dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di pentas final, malam ini.

Untuk rekod ia adalah pentas final pertama mereka selepas terkandas di dua kejohanan sebelum ini - Masters Indonesia dan Masters Thailand.

Namun berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati di India pada Disember tahun lalu.

Disiarkan pada: March 17, 2024 @ 8:17am
d