Badminton

Jun Hao sedia galas cabaran

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melaungkan keyakinan bahawa dia bersedia sekiranya diberikan tanggungjawab untuk menjadi pemain nombor dua dalam skuad kebangsaan di Kejohanan Piala Thomas di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Jika melihat pada situasi ketika ini, pemain yang berada di ranking ke-37 dunia itu hampir pasti untuk mengambil alih tugas Ng Tze Yong selepas pemain itu terpaksa diketepikan daripada kecederaan belakang yang masih dialaminya.

Untuk makluman, ia bukan pertama kali Jun Hao mengambil tanggungjawab penting itu dalam sesuatu kejohanan besar.

Pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Februari lalu, pemain berusia 24 tahun itu beraksi selaku perseorangan kedua dalam hampir semua perlawanan malah dia turut memikul tanggungjawab sebagai perseorangan pertama ketika menentang China di pentas final selepas Lee Zii Jia mengalami masalah resdung.

Namun begitu, aksi cemerlang yang ditampilkan itu tersekat apabila dia tewas kepada pemain Jepun, Koki Watanabe pada aksi separuh akhir dan wakil China, Weng Hong yang ketika final.

Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas 0-3 di tangan China.

"Saya sentiasa bersedia dan perlu bersedia. Seperti saya katakan sebelum ini, siapa yang bermain belum tahu lagi tetapi saya sentiasa bersedia untuk diturunkan.

"Apa yang paling penting sekarang, kami bekerja sebagai satu pasukan. Saya dapat rasakan semua pemain bersemangat tinggi sejak kami mula menjalani kem latihan pusat bermula Rabu lalu," katanya.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.

Disiarkan pada: April 21, 2024 @ 2:50pm
d