Bola Sepak

United gagal manfaatkan peluang

Oleh AFP

Manchester, United Kingdom: Manchester United gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan di gelanggang sendiri buat pertama kali dalam tempoh 48 tahun ketika penampilan pertama Edinson Cavani gagal memberi inspirasi kepada tuan rumah selepas seri 0-0 berdepan Chelsea.

Cavani penyerang Uruguay hampir menjaringkan gol pada sentuhan pertamanya selepas dibawa masuk dari tempat duduk bangku simpanan pada separuh masa kedua, tetapi asakan bertali arus United gagal menembusi kubu pertahanan Chelsea.

Tewas kepada Crystal Palace pada pembukaan hujung minggu musim Liga Perdana dan dibelasah 1-6 oleh Tottenham pada aksi di gelanggang sendiri sebelum ini, United sekali lagi dilihat buntu menemui jaringan di Old Trafford.

Satu-satunya kemenangan United dalam enam aksi terakhir di laman sendiri ialah ketika menewaskan kelab Austria LASK dalam saingan Liga Europa musim lalu.

"Pada separuh masa kedua, kami menggandakan asakan dan jika Stretford End penuh mungkin kami dapat menjaringkan gol, kerana ia meningkatkan tekanan dan kesungguhan.

"Kami merindui peminat. Ia sama untuk semua pasukan tetapi saya rasa semua orang bersetuju yang kelebihan itu sudah hilang dan saya tidak sabar untuk melihat mereka kembali," kata Solskjaer.

United kini di tangga ke-15 liga dan berpeluang menebus kehampaan apabila melayan kunjungan Leipzig dalam aksi Liga Juara-Juara serta Arsenal bagi saingan Liga Perdana.

Sementara itu, pengendali Chelsea Frank Lampard berpuas hati dapat mengutip satu mata dan tidak dibolosi di Old Trafford.

"Kami mahu lebih daripada satu mata tetapi bertandang ke Manchester United dan tidak dibolosi adalah asas yang kuat," kata Lampard.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 8:18am
d