Bola Sepak

Ajax belasah Venlo, 13-0

Oleh AFP

Venlo, Belanda: Ajax memecah rekod Eredivisie berusia 48 tahun milik mereka apabila membelasah Venlo 13-0 dalam kemenangan terbesar dalam sejarah liga itu.

Lassina Traore meledak lima gol ketika juara bertahan mengulangi pencapaian skuad Ajax yang diketuai Johan Cruyff menang 12-1 ke atas Vitesse Arnhem pada Mei 1972 sekali gus mencipta sejarah mencatat kemenangan besar dalam liga itu - musim yang menyaksikan kelab Amsterdam menang kejuaraan liga dan gelaran kedua daripada empat Piala Eropah.

Traore menjadi pemain pertama Ajax menjaringkan lima gol dalam perlawanan Eredivisie sejak Marco van Basten pada 1985 ketika pasukan itu rakus menjaringkan gol paa perlawanan berkenaan berbanding lima aksi perlawanan liga yang lalu.

Jaringan pemain berusia 19 tahun itu adalah yang pertama dalam kempen liga dan meletakkan dia di belakang pemain Feyenoord, Steven Berghuis yang mendahului senarai penjaring terbanyak dan dia juga mencipta tiga lagi peluang menghasilkan gol buat rakan sepasukannya.

Traore berkata kekalahan 0-1 Ajax kepada Liverpool pada saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu "membuatkan kami marah" dan dahagakan kemenangan berdepan Venlo.

"Kami menghormati mereka, tetapi apabila berada di atas padang kami memberikan segalanya dan bertambah garang," katanya.

Jurulatih Ajax, Erik Ten Hag bersetuju: "Anda tidak dapat melihat keputusan seperti ini di Eredivisie. Ia sangat istimewa.

"kami begitu bersungguh-sungguh di padang. Kami mahu menjaringkan gol - dan saya lega dengan itu."

Kemenangan besar itu meletakkan Ajax di puncak liga, dua mata mengatasi PSV Eindhoven dan tiga mata di depan pasukan tempat ketiga, Vitesse.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 10:45am
d