Bola Sepak

Pertembungan adik-beradik

Oleh AFP

Milan: Lorenzo Insigne menyamakan hasil jaringan adiknya, Roberto untuk memastikan Napoli bangkit daripada ketinggalan dan melakarkan kemenangan 2-1 ke atas musuh utama Benevento seterusnya melonjak kedudukan kedua liga Serie A.

Ia adalah pertembungan dua beradik Lorenzo, 29, dan Roberto, 26, serta bekas rakan pasukan AC Milan dan Itali, Filippo Inzaghi dan Gennaro Gattuso yang kini melatih kedua-dua kelab itu.

"Saya sangat gembira tapi maaf gol pertama dalam Serie A adalah menentang abang sendiri," kata pemain tengah Roberto, yang membuka jaringan selepas 30 minit beraksi menentang pasukan kelahirannya yang ditinggalkannya dua musim lalu untuk bersama Benevento.

"Beraksi menentang abang dan Napoli, adalah satu perasaan yang luar biasa tapi kami semua sedih dengan keputusan yang dilakarkan."

Lorenzo Insigne membuat kemunculan kembali selepas pulih daripada kecederaan dengan jaringan penyamaan yang cukup bermakna pada minit ke-68 buat Napoli.

Gol kapten Napoli sebelum itu dibatalkan kerana offside namun bakit meledak dengan kaki kirinya sejam kemudian dengan Matteo Politano mengumpan gol kepada Andrea Petagna untuk gol kedua tujuh minit kemudian.

"Selepas perlawanan, saya memberitahunya (Roberto) kaki kiri saya lebih baik daripada dia," gurau Lorenzo.

"Tidak, saya hanya bergurau, kami juga berpelukan kerana hari ini adalah hari yang menggembirakan bagi keluarga kami. Saya gembira dengan jaringan itu dan tahniah kepada adik saya juga."

Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 11:34am
d