Bola Sepak

Anjur Piala Malaysia secara karnival

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) digesa menjalankan saingan Piala Malaysia secara karnival dengan hanya membabitkan satu lokasi pertandingan sahaja.

Menurut pengurusan tertinggi sebuah persatuan, cadangan itu dilihat lebih baik dan praktikal memandangkan beberapa negeri terutamanya di Lembah Klang terus mencatatkan peningkatan pandemik Covid-19 setiap hari.

Justeru, bagi menyelamatkan saingan tertua di Asia itu, pertandingan Piala Malaysia harus dilangsungkan di satu lokasi tetap dengan memilih negeri yang bersih atau merekodkan kes Covid-19 yang rendah.

Untuk itu, Pahang atau lebih tepat Stadium Darul Makmur di Kuantan adalah destinasi paling sesuai untuk dijadikan venue perlawanan membabitkan 16 pasukan yang dijalankan secara kalah mati itu.

"Situasi Covid-19 dalam negara kita susah nak dijangka. Sekarang kes meningkat di beberapa buah negeri seperti Sabah, Selangor dan terbaharu Negeri Sembilan.

"Sudah tentu perkembangan semasa itu menyukarkan kita untuk mengadakan perlawanan terutama di Lembah Klang, malah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) masih dikenakan di Lembah Klang.

"Jadi dengan Piala Malaysia pula dilangsungkan pada 6 November yang hanya tinggal seminggu saja lagi. Demi selamatkan Piala Malaysia (daripada dibatalkan), baik jalankan di satu tempat di mana negeri itu bersih atau ada kes yang paling minima untuk dipilih lokasi pertandingan.

"MFL boleh ambil contoh seperti ACL (Liga Juara-Juara Asia) yang dimainkan di Qatar saja. Jadi konsep sama boleh digunakan, dan sekarang nampak seperti Pahang negeri yang tidak ada kes Covid-19," katanya kepada Arena Metro.

Berbaki seminggu, nasib saingan Piala Malaysia masih menjadi tanda tanya adakah ia akan diteruskan atau dibatalkan musim ini susulan peningkatan mendadak pandemik Covid-19 di seluruh negara ketika ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata cadangan berkenaan baik namun kos kemungkinan melonjak dan ia akan membebankan pasukan.

"Kita akan teruskan seperti jadual asal. Tidak timbul buat seperti ACL kerana kita kena ingat kebanyakan negara menutup sempadan mereka.

"Kita tidak. Cuma tiga negeri yang mungkin berisiko iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan saja. Tapi kita juga selalu dapatkan perkembangan dan ikut SOP daripada KKM. Rasanya tak ada masalah dan kita akan ikut perancangan yang sudah dirangka," kata Ghani.

Terdahulu, MFL memaklumkan pindaan tarikh menyaksikan undian Piala Malaysia akan diadakan pada 1 November sementara perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 25 dan 26 Oktober dipinda kepada 6, 7 dan 8 November.

Saingan akan bermula dengan pusingan pertama 16 pasukan disusuli suku akhir pada 12 dan 13 November dan separuh akhir pada 17 November sebelum final berlangsung pada 22 November.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 9:06pm
    d