Bola Sepak

'Aksi menentang Sabah tentu 'nasib' di Piala Malaysia'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Aksi terakhir dengan Sabah pada saingan Liga Super masih mempunyai 1,001 makna buat ketua pasukan UiTM FC, Muhd Faizal Mohd Arif yang berharap mereka mampu sekurang-kurangnya mengutip satu mata dalam perlawanan itu bagi meletakkan skuad 'The Lions Troop' berada di tangga keenam liga.

Jika ia menjadi kenyataan, Faizal mengakui situasi itu bakal meletakkan UiTM FC berada dalam laluan sedikit mudah bagi merintis jalan yang lebih jauh dalam pentas Piala Malaysia.

Ini berikutan UiTM FC akan berada dalam kalangan lapan pasukan pilihan termasuk dua pasukan teratas Liga Perdana, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi berdepan empat pasukan Liga Super dari kedudukan 7-11 dan 3-5 dari Liga Perdana.

"Selagi pertemuan dengan Sabah belum berlangsung, saya dan rakan-rakan belum lagi mahu memikirkan lagi saingan Piala Malaysia kerana peluang kami dalam saingan itu nanti banyak bergantung terhadap keputusan dengan Sabah.

"Jika kami mampu menang atau sekurang-kurangnya keputusan seri, saya rasa peluang kami mungkin akan lebih baik dalam saingan Piala Malaysia kerana di pusingan awal, kami dapat mengelakkan pasukan pilihan.

"Saya tidak kata memandang rendah saingan pasukan daripada balang kedua itu nanti cuma setidak-tidaknya situasi itu akan memberikan sedikit kelegaan pada kami serta tidak merasai tekanan tinggi untuk mencari kemenangan," katanya.

Perlawanan Sabah dan UiTM FC yang sepatutnya berlangsung pada 18 Oktober lalu terpaksa dipinda ke 31 Oktober berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan aksi itu akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.

Pindaan itu adalah kali kedua selepas perlawanan asal sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober di Stadium Likas, Kota Kinabalu namun peningkatan mendadak kes Covid-19 di Kota Kinabalu membuatkan perlawanan itu tidak dapat diadakan di sana.

Kedudukan Sabah yang berada di tangga ke-10 sudah terjamin untuk kekal di pentas Liga Super musim depan dan sebarang kemenangan hanya meletakkan pasukan itu naik ke tangga kesembilan bagi memintas Melaka.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 6:00am
d