Bola Sepak

Pogba kesal laporan palsu persaraannya

Oleh Agensi

London: Pemain tengah Manchester United dan Perancis, Paul Pogba berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang selepas "laporan palsu" menyatakan dia akan bersara daripada arena bola sepak antarabangsa.

Pogba, 27, dilaporkan akan bersara dari pasukan kebangsaan Perancis kerana dikatakan tersinggung dengan kenyataan Presiden negara itu, Emmanuel Macron mengenai Islam.

Pemain yang pernah memenangi Piala Dunia yang juga penganut agama Islam, meledak 10 gol dan mempunyai 72 kap penampilan buat Perancis.

"Sememangnya 100% berita tidak benar mengenai saya sedang hangat diperkatakan, bermula dengan perkara yang tidak pernah terlintas di hati saya atau difikirkan," katanya.

Catatannya di Instagram, dia berkata dia sangat "tergamam, marah, terkejut dan kecewa" dengan beberapa media kerana "menggunakannya sebagai tajuk berita yang sama sekali tidak benar" dan "menyentuh mengenai pasukan kebangsaan Perancis dan agamanya."

Tambahnya: "Saya menentang segala bentuk keganasan dan kekerasan. Malangnya segelintir pihak tidak bertindak secara bertanggungjawab semasa menulis berita, menyalahgunakan kebebasan mereka, tidak mengesahkan apakah apa yang mereka tulis atau hasilkan semula adalah benar, mewujudkan rantaian gosip tanpa mempedulikan kesan kehidupan dan karier saya.

"Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada penerbitan dan penyebar berita palsu 100% ini."

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 11:10am
d