Bola Sepak

Mencari Safawi 2.0

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kejayaan bintang Harimau Malaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid yang kini sedang mencipta nama bersama Portimonense SC dalam Liga Portugal, mendorong Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) melancarkan Program Mencari Safawi 2.0 bagi melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu akan bermula hujung tahun ini.

"Kejayaan pemain itu mendorong kita untuk mencungkil lebih ramai lagi pemain sehebat Safawi dan siri jelajah di seluruh daerah akan dilakukan untuk mencari 20 pemain berusia 12 tahun sebagai perintis untuk diserapkan masuk ke Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas yang juga Akademi Bolasepak Terengganu.

"Mereka akan mengikuti modul latihan secara sistematik yang dirangka panel kejurulatihan dan jawatankuasa program.

"Kita yakin dengan program pembangunan yang tersusun dan kerjasama daripada semua sekolah di negeri ini dan pihak yang terlibat dalam pencarian bakat baharu, objektif untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sehebat Safawi akan tercapai," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Mencari Safawi 2.0 di SMK Bukit Nenas, Setiu hari ini.

Turut hadir Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani dan Timbalan Pengarah MSNT, Noor Zatil Aqmar Mohd Nor.

Sementara itu, Salim berkeyakinan kaedah lebih sistematik dengan penglibatan semua pihak mampu melancarkan lagi matlamat berkenaan ke arah yang lebih positif.

"Jika sebelum ini pelajar yang memohon masuk ke sekolah sukan ini, tapi kali ini dengan bantuan semua daerah, kita akan mencari pelajar yang berbakat untuk diserapkan masuk ke sekolah berkenaan.

"Jika Safawi boleh berjaya hingga dilamar kelab Liga Portugal itu, kenapa tidak kita mencungkil lebih ramai Safawi di seluruh negeri dan kumpulkan mereka di sini.

"Inilah hasrat kita, lagipun cetusan idea ini daripada MSST JPNT, kita percaya bakat baharu bakal dapat digilap sebagaimana bintang JDT itu yang berasal dari Dungun, Terengganu yang juga bekas pelatih SMK Bukit Nenas dan bekas pemain pasukan T-Team," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 6:23pm
d