Bola Sepak

Ronaldo belum pasti beraksi

Oleh AFP

Turin: Cristiano Ronaldo masih tidak pasti dapat diturunkan bertemu Barcelona Khamis ini ketika dia sedang dalam proses pemulihan Covid-19, kata jurulatih Juventus, Andrea Pirlo menjelang perlawanan di Turin.

Ronaldo didapati positif Covid-19 dua minggu lalu ketika beraksi bersama Portugal dan melalui proses pengasingan diri sejak kembali ke Itali.

"Ronaldo perlu melakukan ujian sepertimana orang lain. Hari ini kami akan memperoleh keputusannya.

"Ketika ini segalanya tidak pasti. Apabila keputusan sudah diperolehi segala-galanya akan jelas," kata Pirlo sebelum aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara bertemu Barcelona.

Menurut peraturan UEFA, Ronaldo perlu memperoleh keputusan negatif hari ini, iaitu 24 jam sebelum dibenarkan membuat penampilan di atas padang.

"Esok (Rabu) kami akan melihat jumlah pemain boleh diturunkan.

"Bergantung kepada keputusan itu juga, kami akan melihat langkah seterusnya. Bukan mudah bermain selepas tidak beraksi selama 15 hari," kata Pirlo.

Ronaldo yang tidak mempunyai simptom, sudah terlepas tiga perlawanan termasuk ketika kelabnya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Dynamo Kiev di Liga Juara-Juara minggu lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 11:22pm
    d