Bola Sepak

Musa sumbang kerusi roda buat Arab

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) menghulurkan sumbangan kerusi roda kepada salah seorang penyokong tegar skuad berkenaan yang uzur akibat serangan angin ahmar (stroke).

Pengurus skuad Melaka, Muhammad Akram Abdullah berkata, sumbangan kepada Abd Razak Abd Razif, 56 atau lebih dikenali dengan panggilan 'Arab' dalam kalangan penyokong disampaikan di rumahnya di Taman Bukit Rambai, kelmarin.

Katanya, dia yang mewakili presiden Musa, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan dan sokongan padu yang diberikannya sejak sekian lama bersama pasukan itu.

Menurutnya, Arab mengalami lumpuh separuh badan akibat angin ahmar yang dihadapinya baru-baru ini, diharap kembali sembuh dan mampu menjalani kehidupan normal seperti biasa.

Akram yang hadir bersama-sama ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan dan sebahagian penyokong Ultras Taming Sari (UTS) turut mengakui kagum dengan semangat tinggi Arab sebagai penyokong setia.

"Nama Arab memang amat tidak asing dalam kalangan penyokong tegar Melaka tidak kira sama ada perlawanan diadakan pada sebelah siang atau malam.

"Dia dianggap antara legenda penyokong Melaka yang sangat komited memberi sokongan ketika pasukan berada di puncak prestasi atau sebaliknya.

"Malah kerenahnya ketika memberi sokongan amat menarik sekali gus dorongan semangat kepada pemain malah peminat yang hadir," katanya.

Malah sokongannya kepada skuad Sang Kancil sejak zaman Datuk Soh Chin Aun dengan melihat pelbagai peristiwa termasuk juara Liga Malaysia pada 1983 dan aksi lima musim di pentas Piala FAM selain pengalaman pahit pentas roboh sewaktu perlawanan Melaka menentang Pahang sekitar 1980-an bakal terus menjadi kenangan Indah buatnya.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 11:28am
d