Bola Sepak

Maloney kekal tenang

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara tetap tenang meskipun beberapa pasukan jiran tetangga terutamanya Indonesia terus giat menjalani latihan menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan yang dijangka berlangsung pada awal tahun depan.

Pengendali pasukan, Brad Maloney mengakui sudah merangka pelan terbaik sebagai persiapan buat pasukan negara namun pihaknya masih menunggu kebenaran pihak berwajib bagi memulakan latihan ekoran pandemik Covid-19.

"Saya tahu ada beberapa pasukan yang akan bertanding di Kejuaraan AFC terus berlatih. Saya tak berdiam diri apabila sudah merancang persiapan rapi untuk latihan nanti.

"Cuma setakat ini kita tak boleh nak berbuat apa-apa kerana kita perlu patuh dengan arahan pihak kerajaan berkaitan Covid-19.

"Tapi kita sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran dan sebaik diberi kebenaran oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kita akan terus segera mengumpulkan pemain.

"Apapun kita sentiasa memantau pemain-pemain dan harap mereka melakukan latihan sendiri di tempat masing-masing sebelum dipanggil menjalani latihan nanti," katanya ketika dihubungi.

Saingan AFC B-19 yang sepatutnya berlangsung pada Oktober ini di Uzbekistan terpaksa ditunda ke tahun depan susulan pandemik Covid-19 yang 'menyerang' banyak negara di benua ini.

Selain Malaysia dan Indonesia yang akan beraksi di pusingan akhir itu nanti, terdapat tiga lagi pasukan Asia Tenggara turut layak iaitu Vietnam, Kemboja dan Laos.

Bagaimanapun, situasi berkenaan tidak menganggu persiapan beberapa pasukan termasuk Indonesia yang dilihat begitu bersemangat menyediakan pasukan apabila tetap menjalani latihan di luar negara dengan mengadakan aksi persahabatan menentang kelab-kelab sekitar Eropah.

Malah, berdasarkan keputusan perlawanan di sana, skuad Garuda Muda itu berjaya mencatatkan keputusan positif yang seharusnya memberi isyarat bahawa mereka bakal tampil ampuh menjelang saingan itu nanti.

Sementara itu, Maloney menjelaskan AFC masih belum memutuskan tarikh tepat untuk memulakan pusingan akhir itu.

"Ada dengar katanya mungkin berlangsung pada Februari dan ada juga kata dalam bulan Mac. Kita masih tunggu tarikh sebenar kerana ia penting untuk kita melakukan persiapan dengan lancar," katanya.

Pada pusingan akhir itu, skuad negara di letakkan dalam Kumpulan D bersama bekas juara 2014, Qatar serta dua lagi pasukan yang sedang meningkat naik iaitu Tajikistan dan Yaman.

Malaysia menyasarkan untuk mara hingga ke separuh akhir bagi mencuri tiket ke Piala Dunia B-20 yang bakal berlangsung di Indonesia pada Mei nanti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 8:48pm
    d