Bola Sepak

Hatrik Rashford benam Leipzig

Oleh AFP

Manchester: Marcus Rashford menjaringkan hatrik pada babak kedua ketika Manchester United membelasah pendahulu liga Jerman, RB Leipzig 5-0 sekaligus menduduki tangga teratas kumpulan dalam saingan Liga Juara-Juara.

Mason Greenwood meletakkan tuan rumah di depan menerusi rembatan pada babak pertama tetapi Rashford yang masuk sebagai pemain gantian pantas mencuri tumpuan di Old Trafford.

Dia muncul pemain kedua United yang masuk sebagai pemain gantian dan meledak hatrik selepas Ole Gunnar Solskjaer melakukannya ketika menentang Nottingham Forest pada 1999.

United yang bermula goyah pada permulaan musim kini mempunyai enam mata daripada dua perlawanan selepas menang aksi pembukaan menentang Paris Saint-Germain.

Agak mengejutkan apabila Rashford dan Bruno Fernandes diletakkan di bangku simpanan dalam misi United mencari kemenangan pertama di tempat sendiri musim ini.

Mereka mendahului pada babak pertama apabila Greenwood, 19, yang menerima hantaran Paul Pogba meledak rembatan ke penjuru kiri melepasi jangkauan penjaga gol, Peter Gulacsi untuk jaringan pertamanya dalam kempen Liga Juara-Juara.

Skuad tuan rumah diasak hebat anak buah buah Julian Nagelsmann tetapi pemain gantian, Rashford meledak tiga kali selepas dimasukkan pada minit ke-63 untuk mengesahkan kemenangan.

Anthony Martial turut menyumbang satu gol menerusi penalti pada malam gemilang buat juara Eropah tiga kali itu yang kini mendahului tiga mata di puncak Kumpulan H.

"Saya rasa pengurus mahu saya meningkatkan tempo perlawanan,'' kata Rashford.

"Ia bermakna kami perlu menyerang, dan terdapat ruang di sana. Kami ada Bruno dan Paul (Pogba) yang mengawal bola. Kami tampak garang dan mampu menjaringkan gol setiap kali menyerang.

"Ia benar-benar prestasi berpasukan. Semua beraksi dengan baik sama ada kesebelasan utama mahupun pemain gantian dan perancangan kami menjadi.''

Greenwood yang bulan lalu dihantar pulang oleh England kerana tidak mematuhi protokol koronavirus bergandingan dengan Martial di bahagian depan.

Leipzig bermula garang tetapi tuan rumah terlebih dahulu memecah kebuntuan apabila Pogba bijak menghantar bola kepada Greenwood ke dalam kotak penalti yang tenang merembat bola untuk jaringan pertama United.

Solskjaer kemudiannya memasukkan Rashford, Fernandes dan Scott McTominay untuk meningkatkan rentak permainan dan hasilnya Fernandes bijak melorongkan bola kepada Rashford yang mudah menewaskan Gulasci pada ke-74.

Rashford kemudiannya meledak rembatan empat minit kemudian untuk kedudukan 3-0 dan Martial yang dikasari pertahanan lawan menjaringkan penalti sebelum Rashford melengkapkan hatriknya untuk kemenangan bergaya tuan rumah.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 7:30am
d