Bola Sepak

Sabah 'mangsa' Covid

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad Sabah disahkan tidak akan menyertai saingan Piala Malaysia musim ini selepas permohonan laluan khas ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan kejohanan tertua di Asia itu kini hanya membabitkan 15 pasukan.

Menurut Ab Ghani, baki saingan Liga Super antara Sabah dan UiTM FC menyaksikan pihaknya mengumumkan UiTM FC diberikan kemenangan 3-0 atas faktor halangan keluar daripada negeri oleh MKN.

"Permohonan pengecualian bagi pasukan Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan Liga Super yang tertunda tidak dapat dimainkan, jadi pasukan UiTM FC diberikan kemenangan 3-0.

"Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA pada 29 Oktober 2020) melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah mati) Piala Malaysia.

"Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu pasukan Sabah di Pusingan Pertama (kalah mati) Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke pusingan Suku Akhir.

"Pasukan Sabah adalah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan Sabah kerana isu ini," katanya selepas keputusan itu dicapai pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-23 yang berlangsung semalam.

Piala Malaysia dijadual bermula pada 6, 7 dan 8 November ini berlangsung seperti dijadualkan di mana undian akan berlangsung pada 1 November ini.

Sementara itu, Ab Ghani turut mengesahkan Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan format kenaikan dan penyingkiran Liga Super kekal seperti biasa.

Katanya, tiada penyingkiran buat pasukan berstatus Liga Perdana pada musim ini selepas Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 musim ini pada 8 Jun lalu.

"Tiada penurunan dari pasukan Liga Perdana pada musim ini tetapi format biasa iaitu dua pasukan menduduki menduduki tangga ke-11 dan 12 dari Liga Super (turun ke Liga Perdana) dan dua pasukan teratas Liga Perdana (naik ke Liga Super) kekal seperti biasa," katanya.

Sebelum ini, difahamkan terdapat enam pasukan Liga Malaysia memohon supaya MFL mempertimbangkan cadangan untuk menambah bilangan pasukan dalam Liga Super kepada 14 pasukan musim depan sekali gus mengharapkan tiadanya penyingkiran ke Liga Perdana.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 6:01pm
    d