Bola Sepak

Musa optimis selesai dokumen ikut tempoh

Oleh BERNAMA

Melaka: Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) optimis dapat melengkapkan dokumen seperti diminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum 31 Oktober ini.

Ia bagi memastikan pasukan itu tidak berdepan risiko penyingkiran daripada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presidennya, yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata segala dokumen yang diperlukan sedang diproses oleh persatuan untuk dihantar kepada badan induk bola sepak negara itu dalam tempoh terdekat.

"Insya Allah kita boleh selesaikan hal ini dalam tempoh tiga hari ini seperti yang diminta," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ziarah Kasih di Bukit Palah, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Musa dan Pahang berdepan tindakan penyingkiran selepas gagal menghantar dokumen sempurna pada tarikh akhir pertama bulan lepas walaupun kedua-duanya telah diberi peluang oleh FAM dengan diberikan lesen bersyarat.

Ia susulan kegagalan dua pasukan itu untuk mengemukakan dokumen lengkap berkaitan tunggakan dengan agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kedua-dua pasukan itu termasuk lima pasukan Liga Perdana diberi tempoh sehingga 31 Oktober ini bagi mengemukakan segala dokumen berkaitan yang diperlukan kepada Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 11:36pm
d