Bola Sepak

Juventus tagih sengat Ronaldo

Oleh AFP

Milan: Skuad kendalian Andrea Pirlo, Juventus berkunjung ke Spezia Ahad ini dengan harapan Cristiano Ronaldo yang dijangkiti koronavirus dapat kembali membangkitkan semula semangat mereka selepas tewas kepada Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara.

Tetapi Inter Milan tanpa penyerang, Romelu Lukaku ketika menentang Parma selepas pemain Belgium itu mengalami kecederaan paha yang mungkin menjejaskan peluangnya untuk aksi Liga Juara-Juara di Real Madrid minggu depan.

Ronaldo terlepas perlawanan ketika Juventus tewas 0-2 kepada skuad Barcelona diketuai Lionel Messi selepas lebih dua minggu dijangkiti Covid-19, juga kekalahan pertama Pirlo sebagai jurulatih.

Gergasi Turin itu yang memburu gelaran ke-10 Serie A bermula goyah pada awal musim dan kini menduduki tangga kelima, empat mata di belakang AC Milan yang akan menentang kelab bawahan, Liguria yang menduduki tangga ke-14.

Juara sembilan kali itu menang aksi pembukaan menentang Sampdoria pada September lalu, kemenangan tunggal musim ini sebelum tiga kali seri.

Di antara perlawanan itu, mereka diberi kemenangan 3-0 selepas Napoli enggan berkunjung ke Turin pada 4 Oktober angkara koronavirus.

"Keputusan perlawanan tidak menunjukkan tahap kami yang sebenar,'' kata pertahanan, Leonardo Bonucci.

"Kini tiba masanya untuk kembali mencapai prestasi terbaik. Kami kehilangan pemain penting tapi ia bukan alasan. Dalam masa empat hari kami akan kembali ke padang dan berusaha memberi yang terbaik.''

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 11:00am
d