Bola Sepak

Ronaldo kini bebas Covid-19

Oleh AFP

Milan: Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo kini diuji negatif Covid-19 selepas hampir tiga minggu namun kelab Serie A, Atalanta, Sassuolo, Crotone dan Parma mencatatkan kes baru.

Ronaldo kali pertama diuji positif Covid-19 pada 13 Oktober ketika beraksi bersama Portugal.

"Ronaldo menjalani ujian calitan untuk Covid-19. Keputusan itu negatif," kata Juventus dalam satu kenyataan.

"Jadi pemain itu sudah pulih selepas 19 hari dan dia tidak perlu untuk dikuarantin di rumah."

Juventus akan bertemu Spezia esok dengan perlawanan akan dilangsungkan tanpa penonton.

Pendahulu Serie A, AC Milan turut memaklumkan pertahanan Matteo Gabbia, penjaga gol Gianluigi Donnarumma dan penyerang Jens Petter Hauge, diuji negatif.

Donnarumma dan Hauge "dibenarkan untuk kembali menjalani latihan" sebelum Milan yang memegang rekod tanpa kalah berkunjung ke Udinese esok namun Gabbia "masih perlu menjalani pemeriksaan perubatan" hari ini.

Ronaldo, 35, terlepas empat perlawanan termasuk ketika mereka tewas kepada Barcelona 0-2 dan menang 2-0 di Dynamo Kiev dalam aksi Kumpulan G.

Di Bergamo, sidang media pra-perlawanan pengendali Atalanta Gian Piero Gasperini terpaksa dibatalkan selepas terdapat kes positif dalam kalangan jurulatih pasukan.

Crotone turut mengesahkan pemain tengah mereka Salvatore Molina menunjukkan gejala dan menjalani kuarantin kendiri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 8:56am
    d