Bola Sepak

Wolves kini ketiga liga

Oleh AFP

Wolverhampton: Penyerang muda Rayan Ait-Nouri meraikan penampilan sulungnya dengan meledakkan jaringan untuk membantu pasukannya Midlands menewaskan Crystal Palace 2-0 di Molineux sekali gus melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana.

Kemenangan itu membolehkan Wolves menyamai kutipan mata dua pasukan teratas dari Merseyside, Everton dan juara bertahan Liverpool.

Ait-Nouri yang juga bek kiri Perancis bawah 21 tahun itu menyertai Wolves sebagai pemain pinjaman sepanjang musim ini dengan pilihan untuk membelinya dari Angers bulan ini.

Dia hanya memerlukan 18 minit untuk membuka jaringan dengan percubaan rembatan pertama.

Sebelum itu jaringan Michy Batshuayi untuk Palace dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Pemain sayap Portugal, Daniel Podence menjaringkan gol kedua Wolves sembilan minit kemudian ketika dia menyambut hantaran lintang Pedro Neto dari jarak dekat.

Palace bertambah malang apabila Luka Milivojevic dibuang padang pada akhir permainan selepas penilaian VAR mendapati dia melakukan kekasaran ke atas pemain gantian Wolves Joao Moutinho. -

"Untuk Rayan Ait-Nouri, saya sangat gembira kerana ini adalah perlawanan pertama dan apa yang disifatkan sebagai satu permulaan yang baik yang dia pamerkan" kata pengurus Wolves, Nuno Espirito.

"Dia baru 19 banyak perkara perlu diperbaiki. Dia perlu belajar banyak perkara dan itu adalah tugasnya."

Wolves hampir meledakkan gol ketiga sebelum babak pertama tamat menerusi percubaan Nelson Semedo dan Leander Dendoncker menerusi percubaan jarak jauh.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 9:24am
d