Bola Sepak

Semua sudah tamat - Zidane

Oleh AFP

Madrid: Pertelingkahan antara bintang Real Madrid, Karim Benzema dan Vinicius Jr yang bermula ketika perlawanan Liga Juara-Juara di Moenchengladbach sudah 'tamat', kata jurulatih Zinedine Zidane.

Insiden itu berlaku ketika barisan pemain Real Madrid bersiap untuk berjalan masuk ke padang selepas separuh masa pertama tamat, Selasa lalu ketika mereka ketinggalan 0-1 apabila kamera dan mikrofon di terowong merakam perbualan dalam bahasa Perancis antara Benzema dan rakan senegara Ferland Mendy.

Merujuk kepada Vinicius, 20, Benzema, 30, berkata: "Dia melakukan apa yang dia mahukan. Jangan bermain dengannya. Dia bermain untuk kita."

Pasangan itu kemudiannya dilihat bercakap dengan Vinicius namun perbualan itu tidak dapat dirakam oleh mikrofon.

Vinicius digantikan oleh Eden Hazard pada minit ke-70 ketika Real ketinggalan 2-0 sebelum Benzema menjaringkan gol minit ke-87 dan Casemiro menambah jaringan ketika masa tambahan untuk menjadikan kedudukan 2-2.

"Ada perbincangan berlaku" antara Benzema dan Vinicius kata Zidane. "Tapi semuanya sudah tamat."

"Banyak perkara kecil berlaku antara dua pemain di atas padang. Saya tidak mengatakannya untuk mengelak masalah kerana apa yang berlaku ia sudah berlaku. Ia akan berlaku dari masa ke semasa. Ketika anda bermain akan wujud sedikit ketegangan," kata Zidane.

"Satu-satunya perkara yang perlu dilakukan ialah anda tidak boleh membiarkan ia berlarutan."

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 11:07am
d