Bola Sepak

Tindakan Sumareh adu kes pada FIFA tak salah

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Hukuman yang dikenakan terhadap pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh oleh Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) adalah hak badan induk bola sepak negeri terbabit dan tiada kaitan dengan pihak lain.

Malah, tindakan Sumareh yang membawa kes berkenaan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga tiada masalah kerana sememangnya sudah di peruntukan bahawa hak pemain di bawah undang-undang badan bola sepak dunia itu.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John berkata, ketika ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan AFC tidak boleh campur tangan dan perlu menunggu keputusan daripada FIFA untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, 'pertelingkahan' membabitkan Sumareh dan PBNP adalah kes tempatan seterusnya perlu menggunakan medium yang betul untuk menyelesaikannya.

"Sekarang ini kes sudah dibawa ke FIFA sekali gus, FAM dan AFC tiada kuasa untuk masuk campur dan biarkan badan induk bola sepak dunia terbabit menyelesaikannya.

"Ingin saya tekankan, tiada salah jika Sumareh terus membawa kes kepada FIFA kerana semua pemain adalah di bawah tanggungjawab badan induk bola sepak dunia itu termasuklah membabitkan isu tunggakan gaji.

"Sekarang ini, saya difahamkan, FIFA sudah mulakan siasatan dan mungkin dalam masa terdekat kita akan mengetahui keputusannya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan hukuman gantung dua tahun ke atas Sumareh daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan badan induk itu.

Sebanyak empat pertuduhan terhadapnya termasuk melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 perlembagaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran PBNP.

Pertuduhan lain menyaksikan Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain di mana merujuk perkara itu terus kepada FIFA (Disppute Resolution Chamber) tanpa terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber FAM (NDRC).

Pemain Harimau Malaya itu juga didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain di mana dia gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama skuad Pahang bermula 3 Ogos-28 Ogos selain kesalahan gagal menghadirkan diri pada aksi Liga Super antara Pahang bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos lalu.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 3:38pm
d