Bola Sepak

Kemas kini pasukan Liga Perdana 2021

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan melakukan kemas kini berhubung kedudukan pasukan Liga Perdana bagi musim 2021.

Ini selepas pasukan Felda United FC (Felda United) dan UKM FC, sah tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim hadapan selepas gagal memenuhi syarat penswastaan kelab bola sepak bersyarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan, pentadbir Liga Bola Sepak Malaysia itu akan mengemas kini kedudukan 10 pasukan Liga Perdana termasuk empat pasukan "feeder" sebelum membuat keputusan lanjut.

Empat pasukan "feeder" berkenaan adalah Terengganu FC II, Johor Darul Ta'zim II, Perak II dan Selangor II.

Manakala enam pasukan lain adalah Kelantan, Kuching FA, Kelantan United FC, Sarawak United FC, Negeri Sembilan serta Polis Diraja Malaysia yang tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan setelah menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan Liga Super pada musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Felda United dan UKM FC tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga M pada musim 2021 selepas gagal memenuhi syarat penswastaan kelab bola sepak bersyarikat.

Beliau menegaskan, badan induk bola sepak negara itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung perbelanjaan kedua-dua pasukan berkenaan tidak kukuh, sekali gus memaksa FAM membuat keputusan itu.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 10:07pm
d