Bola Sepak

PSG lakar kemenangan tanpa Neymar

Oleh AFP

Paris: Kylian Mbappe menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu Paris Saint-Germain melakar kemenangan ketujuh berturut-turut Ligue 1 selepas menewaskan Nantes 3-0 sekali gus menguasai carta liga dengan kelebihan tiga mata.

Kesemua gol PSG disempurnakan pada separuh masa kedua dalam aksi yang berlangsung di Stade de la Beaujoire, dengan Ander Herrera membuka jaringan dua minit selepas berehat dan Mbappe menyempurnakan sepakan penalti minit ke-65 sebelum Pablo Sarabia melebarkan kedudukan pada minit terakhir.

PSG kini mengumpul mata maksimum sejak memulakan musim dengan dua kekalahan berturut-turut dan juara bertahan itu mendahului liga dengan kelebihan tiga mata ke atas pesaing terdekat Lille dan Rennes.

Lille, yang belum tewas musim ini, boleh kembali menyertai pendahulu di puncak sekiranya mereka menewaskan Lyon malam ini. Rennes mengatasi Brest 2-1.

"Saya sangat gembira. Kami melakukan banyak perubahan kerana kami merasakan ia adalah perlu. Kami tidak mengharapkan semua menjadi sempurna dan hebat sepanjang masa," kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

Beliau membuat enam perubahan dalam kesebelasan utama berikutan kemenangan 2-0 pertengahan minggu lalu di Istanbul Basaksehir dalam aksi Liga Juara-Juara dengan Neymar antara pemain yang tidak diturunkan selepas mengalami kecederaan dan dia dijangka akan direhatkan sehingga musim rehat antarabangsa yang akan datang.

Bagaimanapun Nantes yang seharusnya beraksi di Lens minggu lalu namun dibatalkan kerana wadak Covid-19 dalam pasukan lawan, kehilangan empat pemain pertahanan termasuk tiga daripada mereka itu didapati positif Covid-19.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 9:32am
d