Bola Sepak

Milan bangkit catat keputusan seri

Oleh AFP

Milan: Inter Milan bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk melakarkan keputusan seri 2-2 dengan Parma namun begitu mereka tidak berpuas hati dengan penggunaan VAR sementara Atalanta menewaskan pasukan tercorot liga Crotone untuk melonjak ke kedudukan kedua Serie A.

Pasukan bimbingan Antonio Conte sebelum ini kehilangan mata dalam tiga dari enam perlawanan pertama liga musim ini dan kini ketinggalan lima mata di belakang seteru utama dan pendahulu liga AC Milan yang akan melayan Udinese, hari ini.

Inter seharusnya mendapat sepakan penalti apabila Botond Balogh menjatuhkan Ivan Perisic pada separuh masa kedua dengan Conte tidak hadir pada sidang media sebagai protes ke atas keputusan itu.

"Ia adalah tugas kami untuk memprotes keputusan pengadil. Ini adalah satu-satunya tempat kami melakukan tunjuk perasaan kerana kami tidak ada cara lain untuk membuatkan suara kami didengari," kata Pengarah Sukan, Beppe Marotta.

"Kami menyedari VAR adalah satu campur tangan yang boleh melihat kesalahan yang terang dan jelas tapi hari ini adalah sangat jelas bahawa ia patut diberikan penalti. Jadi sama sama pengadil perlu beri perhatian lebih khusus atau VAR perlu digunakan.

"Tapi jika VAR hanya digunakan sebahagian ia akan merosakkan setiap orang dan menimbulkan rasa ketidakadilan. Selepas enam perlawanan, ini waktu yang tepat untuk membuat komen ini."

Sementara itu pasukan bimbingan, Gian Piero Gasperini, Atalanta yang melakarkan keputusan seri 2-2 menentang Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu lalu kini satu mata di belakang AC Milan.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 11:49am
d