Bola Sepak

Sherman teruja menantikan saingan Piala Malaysia

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Penyerang sensasi Kedah Kpah Sherman meluahkan rasa terujanya untuk memulakan saingan TM Piala Malaysia musim ini yang akan memulakan saingannya minggu depan.

Menurut bintang kelahiran Liberia ini, medan saingan piala penuh berprestij ini tidak akan dipersiakan untuk membuktikan kemampuan dirinya bersama skuad Lang Merah pada musim ini.

"Saya memang rasa teruja dan bersemangat menantikan saingan Piala Malaysia ini bermula selepas saingan Liga Super berakhir dengan menyaksikan Kedah berjaya berada pada kedudukan tangga kedua musim ini.

"Sudah pasti melalui latihan dan persiapan yang sedang kami lakukan dalam pasukan, akan menguatkan lagi motivasi serta semangat saya untuk membantu pasukan Kedah dalam memulakan rentak saingan hebat yang sedang menanti.

"Ini medan terbaik untuk saya buktikan kemampuan dan sasaran yang saya letakkan bersama Kedah pada musim ini bersama harapan dan impian semua pihak termasuk penyokong yang mahu melihat Kedah berada pada pencapaian terbaik pada musim 2020 ini". katanya.

Namun penyerang berusia 28 tahun ini tidak sesekali menganggap saingan Piala Malaysia kali ini semudah yang disangka kerana kebanyakan pasukan akan mempersiapkan pemain dengan cita-cita lebih besar untuk merangkul piala sebagai penutup tirai Liga Malaysia musim ini.

"Saingan dijangka sukar dan sengit untuk melihat pasukan mana yang akan menjadi pilihan kerana masing-masing memiliki strategi yang terbaik untuk bersaing dengan lebih hebat selepas mendapat rentak masing-masing dalam saingan di pentas Liga Super dan Liga Perdana.

"Pasukan mana yang melengkapi perancangan dan persiapan dengan lebih lengkap dijangka mampu memiliki kelebihan untuk sasaran yang diharapkan". katanya.

"Faktor mendapat tuah melalui pilihan undian juga akan memainkan sedikit peranan dalam menentukan jalan menuju ke peringkat lebih tinggi nanti". katanya.

Sherman membantu Kedah meledak enam gol bersama Kedah dalam saingan Liga Super musim ini turut memberi reaksi positif apabila Kedah diundi bertemu Pahang pada sesi Undian TM Piala Malaysia dan turut disiarkan secara langsung di Youtube unifi dan Facebook Live Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pagi ini.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 2:04pm
d