Bola Sepak

Talian hayat Felda United, UKM FC, bola sepak

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Ketika pintu buat dua pasukan Felda United dan UKM FC untuk beraksi musim depan dilihat sudah tertutup, mereka diberikan talian hayat terakhir apabila permohonan rayuan akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa berkaitan untuk ditolak atau sebaliknya.

Hal ini bermakna, rayuan yang dikemukakan oleh kedua-dua pasukan terbabit sudah di terima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun keputusan akan ditentukan dalam masa terdekat selepas mengambil kira beberapa faktor lain termasuk dokumen yang dikemukakan oleh mereka.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa Felda United dan UKM FC mengemukakan rayuan selepas keputusan sudah diumumkan berdasarkan dokumen yang mereka hantar kepada Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM.

Beliau berkata, pada tarikh akhir sebelum pengumuman penyingkiran itu, kedua-dua pasukan tidak meminta supaya diberikan tempoh untuk mengemukakan dokumen berkaitan.

"Kedua-dua pasukan ketika ini meminta pula diberikan masa untuk menyerahkan dokumen berkaitan supaya diberikan peluang beraksi pada musim depan.

"Oleh itu, peranan sekretariat adalah akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM untuk menerima atau menolak rayuan itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, walaupun dilihat pintu untuk beraksi pada musim depan untuk Felda United dan UKM FC seakan sudah tertutup, kedua-dua pasukan enggan mengaku kalah apabila akan mengemukakan rayuan kepada FAM.

Pengurusan kedua-dua pasukan tetap mahu memastikan mereka dapat beraksi walaupun gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat seterusnya tidak boleh menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Kegagalan terbabit selepas penelitian dilakukan FAM terhadap dua pasukan itu mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 8:22pm
d