Bola Sepak

Mohon bersabar, beri Safawi ruang

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Peminat digesa supaya bertenang dan memberi masa kepada tonggak Harimau Malaya yang kini beraksi bersama Portimonense SC, Safawi Rasid diberi ruang untuk memahami falsafah bola sepak Portugal.

Menurut pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, ketiadaan Safawi dalam senarai barisan pemain Portimonense dalam tiga perlawanan adalah kemungkinan dia masih belum mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh kelab terbabit.

Katanya, Safawi yang baharu saja bersama kelab itu awal bulan lalu perlu memahami dan menghadam konsep serta gaya permainan Eropah yang lebih mencabar.

Jelasnya, terdapat perbezaan besar antara kualiti liga di Asia berbanding liga di Eropah terutamanya dalam aspek kekuatan dan kepantasan.

"Safawi masih lagi cuba menghadam falsafah bola sepak Eropah. Kalau dia (Safawi) bagus di rantau kita dan bagus dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa (bersama Harimau Malaya), tapi tak semestinya dia akan bagus di Eropah.

"Bagi saya kita harus memberi ruang untuk Safawi betul-betul memahami falsafah dan hadam serta biasakan kemahiran lebih-lebih dengan gaya permainan di sana.

"Kita kena ingat, liga Portugal main dalam UCL (Liga Juara-Juara Eropah) manakala kita main dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia) di mana kita kena akui liga mereka lebih tinggi, biarpun kelab Safawi di tempat bawahan.

"Beri ruang untuk Safawi memahami dan hadam serta bagi dia serasi dengan gaya bola sepak sana. Kita kena bagi dia masa," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, peminat bola sepak tanahair berang apabila kelibat Safawi tiada bersama pasukan sekaligus mencetuskan tanda tanya.

Paling mengecewakan apabila kelab berkenaan menerusi Facebook rasmi menulis nama Safawi seolah memberi harapan pemain itu akan beraksi.

Namun segala harapan itu palsu apabila Safawi langsung tidak kelihatan termasuk di bangku simpanan yang kemudiannya mendatang kemarahan penyokong Malaysia seolah di 'scam' oleh kelab terbabit.

Susulan itu, ratusan penyokong dan netizen tempatan mula menyerang Facebook Portimonense SC dengan mendakwa kelab berkenaan sengaja menggunakan nama pemain Harimau Malaya itu untuk mendapatkan perhatian di laman sosial.

Tambah Sadek lagi, peminat perlu bersabar dan jangan memberi komen di laman sosial yang boleh menambah tekanan kepada Safawi.

Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 7:20pm
d