Bola Sepak

Aqil mahu sehebat Zidane, Vieira

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Saham ubi muda negara semakin laris di Eropah apabila seorang lagi pemain, Aqil Arazi Aziz terpilih bermain di Perancis.

Aqil, 17, dilaporkan menyertai kelab divisyen lima Perancis iaitu AS Cannes yang terkenal dengan melahirkan pemain ternama dunia seperti Zinedine Zidane dan Patrick Vieira.

Menurut Aqil, selepas menjalani tempoh pemilihan selama dua bulan, akhirnya dia diterima masuk ke kelab terbabit dan berazam mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"(Ini) langkah pertama selepas dua bulan menjalani latihan dan pemilihan, saya diterima dan didaftarkan untuk bermain di kelab AS Cannes di Perancis.

"Langkah seterusnya adalah untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama," tulisnya di laman sosial Instagram miliknya.

Katanya, kelab itu mempunyai sejarah panjang melahirkan pemain terbaik dan dia bertuah berada di kelab berkenaan.

"Mengikut jejak legenda kelab, AS Cannes adalah kelab bermulanya legenda bola sepak Zinadine Zidane, Patrick Vieira dan Gael Clichy.

"Tak dapat nak bandingkan dengan pemain ini semua. Tak mengapa saya akan cuba lakukan sehabis baik," katanya yang menjadikan Zidane sebagai idolanya.

Terdahulu, hampir 10 pemain muda negara berjaya menerima kontrak profesional dan diterima masuk beraksi bersama akademi dan serta pasukan pembangunan di beberapa negara di Eropah.

Selain Aqil di Perancis, Allee Putra Azril turut meraih peluang bersama sebuah akademi di Sepanyol, FC Malaga City di samping Omar Raiyan Kama Azlan di Serbia dengan kelab, Red Star Belgrade.

Di Jerman juga menyaksikan Muhammad Diniz Irwan kini beraksi buat pasukan kedua, Eddersheim FC yang bermain dalam divisyen lima liga Jerman.

Sementara itu, dua bintang bola sepak negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Safawi Rasid masing-masing meraih kontrak profesional dengan Luqman berpangkalan di Belgium bersama KV Kortrijk, manakala Safawi di Portugal dengan Portimonense SC.

Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 10:33pm
d