Bola Sepak

Rekod lampau tak menggusarkan Baddrol

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar menganggap kekalahan 1-2 kepada Pahang dalam saingan Liga Super tidak menggusarkan skuad Lang Merah dengan menyifatkan pentas Piala Malaysia sebagai satu medan berbeza buat semua pasukan.

Apa yang penting, Baddrol melihat mereka boleh menjadikan pengalaman dalam perlawanan berkenaan untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan supaya pisang tidak berbuah dua kali apabila kedua-dua pasukan berentap di pusingan pertama Piala Malaysia, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu ini.

Selain itu, Baddrol mengakui pertembungan dengan Pahang ini ibarat mengimbau memori separuh akhir Piala Malaysia musim lalu yang memperlihatkan antara persaingan paling sengit dalam sejarah pertandingan apabila terikat 8-8 secara agregat, namun Kedah layak berdasarkan jaringan di tempat lawan.

"Kekalahan tempoh hari dalam Liga Super bagi saya ibarat satu pengajaran berguna kepada Kedah kerana kami terlepas peluang merapatkan jurang dengan pendahulu, JDT (Johor Darul Ta'zim).

"Jadi, semua pemain kena ambil iktibar terhadap apa yang terjadi serta memperbaiki segala kekurangan supaya tidak terjadi sekali lagi kerana kami wajib menang dalam perlawanan ini.

"Tiada tekanan sebenarnya kepada Kedah dan harapan saya pasukan dapat kekalkan momentum seperti aksi kami sebelum ini walaupun berdepan Pahang, benar-benar mengingatkan aksi di separuh akhir pada musim lalu.

"Satu lagi harapan saya tiada mana-mana pemain mengalami kecederaan dan sempat pulih sebelum turun dengan Pahang kerana kami memerlukan semua pemain terbaik yang dimiliki pasukan," katanya.

Pada aksi yang berlangsung pada 26 September lalu di Stadium Darul Makmur, Kedah terlebih dahulu berada di depan menerusi Kipre Tchetche pada minit 15 sebelum Pahang dapat memenangi perlawanan itu melalui gol Adam Reed pada minit-41 serta Nik Sharif Haseefy pada minit-46.

Kedah yang juga finalis Piala Malaysia musim lalu itu berdepan laluan sukar jika mahu mengulangi pencapaian kerana bakal berdepan pemenang Selangor dan Melaka jika layak ke suku akhir manakala Terengganu FC, Perak, PJ City atau Kelantan United menjadi lawan di separuh akhir.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 9:28pm
d