Bola Sepak

Foden kembali, Greenwood diketepikan

Oleh AFP

London: Pemain tengah Manchester City, Phil Foden kembali disenaraikan dalam skuad England namun tiada ruang buat penyerang Manchester United, Mason Greenwood tatkala kedua-duanya sebelum ini disingkirkan akibat melanggari peraturan Covid-19.

Foden dan Greenwood, dihantar pulang apabila menjemput wanita tempatan ke hotel penginapan skuad England selepas membuat penampilan pertama kali di peringkat antarabangsa September lalu dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Iceland di Reykjavik.

Jurulatih England, Gareth Southgate mengetepikan pemain muda itu untuk aksi Oktober sebagai satu hukuman dan menganggap tingkah laku mereka ketika musim pandemik ini tidak boleh diterima.

Bagaimanapun, selepas itu Foden meledak tiga gol dalam enam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus berjaya menarik perhatian pengendali England itu disebabkan aksi luar biasanya bersama City.

Pemain berusia 20 tahun itu disenaraikan semula oleh Southgate menjelang aksi persahabatan minggu depan menentang Republik Ireland dan saingan Liga Negara-Negara UEFA bertemu Belgium serta Iceland.

Greenwood kurang bernasib baik dan pemain berusia 19 tahun itu sekali lagi diketepikan dalam skuad England, walaupun dengan ketiadaan penyerang Southampton, Danny Ings yang mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 11:05pm
d