Bola Sepak

'Kami perlu lakukan lebih baik' - Fernandes

Oleh AFP

London: Bruno Fernandes mengakui Manchester United perlu melakukan lebih baik selepas kekalahan memalukan di tangan Istanbul Basaksehir meningkatkan lagi tekanan terhadap pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

United bermula hambar pada awal kempen dan kekalahan di Istanbul di saingan Liga Juara-Juara Rabu lalu semakin menyukarkan kedudukan Solskjaer.

Ketika khabar angin bertiup kencang Solskjaer mungkin akan digantikan oleh bekas pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, Fernandes sedar United tidak berada pada tahap terbaik mereka sepanjang minggu lalu dengan Arsenal menewaskan mereka di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kami perlu melakukan dengan lebih baik dan kami perlu melakukan sesuatu kerana saingan akan menjadi lebih sukar. Kami perlu fokus sepenuhnya," kata Fernandes menjelang pertemuan dengan Everton esok.

Memulakan kempen bulan lalu dengan kekalahan 1-6 di laman sendiri kepada Tottenham, Fernades percaya kemenangan Liga Juara-Juara United ke atas Leipzig dan Paris St Germain (PSG) serta kemenangan EPL ke atas Newcastle, membuktikan masih ada sinar buat pasukannya.

"Kami menang ke atas Newcastle, menang ke atas PSG, menewaskan Leipzig. Kami seri dengan Chelsea di mana kami sepatutnya menang.

"Tetapi sudah tentu mata yang dikumpul dalam liga bukan seperti yang kami mahukan.

"Kami berada di kedudukan yang baik (Liga Juara-Juara), tetapi bukan di EPL. Kami perlu melakukan dengan lebih baik," katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 2:18pm
d