Bola Sepak

Morata, Koke kembali perkuatkan Sepanyol

Oleh AFP

Madrid: Penyerang Juventus, Alvaro Morata dan pemain tengah Atletico Madrid, Koke kembali disenaraikan dalam skuad Sepanyol untuk aksi persahabatan menentang Belanda dan saingan Liga Negara-Negara UEFA berdepan Jerman serta Switzerland.

Turut tersenarai buat kali pertama ialah rakan sepasukan Koke di Atletico, Marcos Llorente dan jurulatih, Luis Enrique menyenaraikan penjaga gol Kepa Arrizabalaga walaupun pemain itu hilang tempat di Chelsea.

Morata, 28, meledak enam gol dalam tujuh perlawanan sejak kembali ke Juventus secara pinjaman.

Kali terakhir dia mewakili Sepanyol pada November 2019.

Ketua pasukan Atletico, Koke hanya beraksi sekali dengan Sepanyol sejak mereka disingkirkan tuan rumah pada 16 pusingan terakhir Piala Dunia 2018 di Russia.

Sepanyol akan berkunjung ke Amsterdam untuk berdepan Belanda dalam aksi persahabatan Khamis depan.

Mereka selepas itu akan berdepan Switzerland di Basel pada 15 November sebelum melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan Liga Negara-Negara UEFA di tempat sendiri menentang Jerman tiga hari kemudian.

Sepanyol berada di tangga teratas kumpulan dengan mengumpul tujuh mata daripada empat perlawanan walaupun tumpas 0-1 kepada Ukraine bulan lalu.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 10:27pm
d