Bola Sepak

Lang Merah ke suku akhir

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar : Kedah layak ke saingan suku akhir saingan Piala Malaysia selepas membenam Pahang dengan kemenangan 3-2 pada aksi pusingan pertama secara kalah mati di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Babak permulaan berlangsung dengan penuh bersemangat oleh kedua-dua pasukan, dengan Kedah melalui penyerangnya Kipre Tchetche hampir membolosi gawang Pahang selepas percubaannya pada minit ketujuh di depan gawang berjaya dihalang penjaga gol Helmi Eliza Elias.

Selepas melakukan beberapa percubaan bahaya termasuk dari Kpah Sherman pada minit ke-12 yang gagal dimanfaatkan tuan tumah, tuan rumah mengejutkan Pahang melalui jaringan tandukan kemas Shakir Hamzah pada minit ke-17 berpunca daripada sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.

Pahang cuba bangkit memburu gol pada minit ke-23 apabila percubaan Ivan Carlos yang menolak bola ke arah Dickson Nwakeme di depan gawang tuan rumah gagal dimanfaatkan pemain kelahiran Nigeria itu.

Pahang terus tertekan apabila Kedah terus menambah gol pada minit ke-35, sekali lagi melalui tandukan oleh Sherman yang menerima hantaran cantik Tchetche dari sebelah kiri gawang Pahang sekali gus meletakkan kedudukan 2-0.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Kedah terus menambah derita skuad Tok Gajah dengan gol ketiga melalui umpanan pemain sayap Faizat Ghazli kepada Tchetche disambut dengan rembatan padu ke arah penjuru kiri gawang Pahang.

Tiga minit selepas babak kedua bermula Pahang mendapat 'tonik' permulaan terbaik melalui gol pertama hasil percubaan tandukan Muslim Ahmad yang berjaya menewaskan Azri Ghani, berpunca dari sepakan percuma yang diambil Nor Azam Azih.

Pahang sekali lagi mendapat peluang keemasan apabila pengadil Muhammad Nazmi menghadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan Kedah, Renan Alves menarik baju Adam Michael namun Nwakaeme gagal mengambil peluang berkenaan apabila percubaannya sekadar terkena tiang.

Pahang akhirnya berjaya merapatkan jurang gol dengan sumbangan pemain gantian Faizal Abdul Rani pada minit ke-88 yang bermula dari gerakan Nor Azam dan sekali gus mencemaskan tuan rumah.

Namun kedudukan 3-2 berlarutan hingga tamat perlawanan menyaksikan Kedah mara ke suku akhir sementara Pahang pula tersingkir dari saingan Piala Malaysia musim ini.

Turut mara ke suku akhir ialah juara Liga Perdana, Pulau Pinang selepas menewaskan pasukan Liga Super, FELDA United FC 3-1 di Stadium Bandaraya.

Lawan skuad Harimau Kumbang di suku akhir nanti adalah pemenang perlawanan antara UiTM FC dan Kelantan yang akan membuat perhitungan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Ahad ini.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 11:30pm
d