Bola Sepak

Southampton ungguli liga selepas 32 tahun

Oleh AFP

London: Southampton menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak 1988 selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Newcastle.

Gol sumbangan Che Adams dan Stuart Armstrong memastikan Southampton menamatkan saingan hari ini di kedudukan teratas liga buat kali pertama sejak skuad bimbingan Chris Nicholl melakukannya 32 tahun lalu.

Kini Ralph Hasenhuttl membimbing pasukan itu dan pengendali dari Austria itu berjaya membawa perubahan besar kepada pasukan.

Selepas lebih setahun mereka dimalukan 0-9 oleh Leicester di St Mary, Southampton melalui proses perubahan yang besar dan kini dilihat mampu menewaskan mana-mana pasukan.

Mengekalkan kedudukan teratas pastinya satu tugas yang sukar namun bukan mustahil untuk mereka menyimpan impian meraih tiket beraksi di pentas Eropah dan mungkin mampu menamatkan saingan musim ini di kedudukan empat terbaik.

Hasenhuttl baru-baru ini berkata, beliau mahu pasukannya tidak terlalu diberi perhatian namun prestasi cemerlang mereka menyaksikan perkara itu sukar dielakkan.

Southampton yang memenangi lima daripada enam perlawanan terakhir, kemungkinan akan digantikan oleh Everton jika kelab itu menewaskan Manchester United, hari ini.

Sementara itu, Burnley masih gagal meraih kemenangan selepas seri tanpa jaringan dengan Brighton.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 7:41am
d