Bola Sepak

Real buru tiga bintang utama

Oleh Agensi

Madrid: Real Madrid dilaporkan sedang berusaha mendapatkan tiga nama besar iaitu Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Eduardo Camavinga.

Los Blancos mempunyai wang untuk dibelanjakan pada tahun depan selepas gagal membeli sebarang pemain pada jendela perpindahan lalu berikutan krisis pandemik Covid-19.

Menurut AS, skuad bimbingan Zinedine Zidane mendahului kelab lain untuk mendapatkan penyerang Borussia Dortmund, Haaland jika dia mengambil keputusan meninggalkan kelab gergasi Jerman itu.

Manchester United turut dikaitkan dengan perpindahan penyerang antarabangsa Norway itu namun Real dipercayai mendahului pasukan lain.

Media Sepanyol itu juga melaporkan penyerang Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe turut menjadi sasaran utama Zidane.

Manakala bintang Rennes, Camavinga kekal menjadi keutamaan Real dalam usaha kelab itu menggantikan pemain itu dengan Luka Modric.

SunSport pada September lalu melaporkan ketiga-tiga trio itu menjadi sasaran utama Real dalam usaha kelab itu membentuk semula pasukan.

Jika Real berjaya mendapatkan ketiga-tiga pemain itu, mereka bakal muncul salah satu kelab berbisa di Eropah.

Beberapa bintang veteran termasuk Karim Benzema kemungkinan akan diketepikan sekiranya Real berjaya mendapatkan pemain seperti Haaland.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 1:57pm
d